loading...

‘Kegembiraan hilang sekelip mata’

KOTA BHARU: “Kegembiraan kami sekeluarga menyambut Aidilfitri hilang sekelip mata selepas kehilangan dua orang tersayang,” kata Mohd Bodi Alam Abdul Salam, 30, bapa kepada Ibrahim, 3, yang m4ut dihempap pokok rhu petang semalam.
Dalam kejadian jam 7.23 petang di Pantai Irama, Bachok itu, turut meninggal dunia adalah sepupu Ibrahim, Norjim Nurul Amin, 24. Dua warga Myanmar itu maut selepas cedera parah di kepala.
Jenazah Ibrahim dan Norjim dimandikan dan dikafankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Babong di sini jam 12.30 tengah hari tadi.
Mohd Bodi berkata, mereka sekeluarga keluar rumah jam 2 petang untuk beraya di rumah kenalan sebelum tiba di pantai berkenaan jam 6 petang.
“Ketika itu cuaca masih elok dan kami sekeluarga gembira. Saya banyak mengambil gambar dengan Ibrahim.
“Namun secara tiba-tiba cuaca berubah dan angin bertiup kencang ketika Ibrahim dan dua saudaranya bermain di tepi pantai. Norjim terus berlari mendapatkan Ibrahim manakala saudara Ibrahim yang lain sudah berlindung di bawah bangsal.